|
SEJARAH DAN LATAR BELAKANG MASJID
ABIDIN
Masjid ini dibina oleh Al-Marhum Sultan
Zainal Abidin II (juga dikenali sebagai Marhum Masjid) di antara tahun 1793 -
1808. Asal usul pembinaan adalah daripada kayu namun pada masa pemerintahan
Al-Marhum Sultan Umar (dikenali Marhum Baginda), kira-kira pada tahun 1852,
bangunan masjid ini telah digantikan dengan bangunan yang diperbuat dari
batu.
Sekali lagi masjid ini melalui
pengubahsuaian pada tahun 1901 pada masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III,
masjid ini diperbesarkan bagi menampung jemaah yang semakin bertambah. Selain
daripada pembaikan ini, tiang-tiang batu bulat turut dibina dan tiga buah
menara dinaikkan.
Pembesaran masjid sekali lagi dilakukan
pada masa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah
pada tahun 1972, ianya diperbesarkan demi menampung sejumlah 2,500 orang
jemaah. Turut didirikan sebuah menara yang tinggi dan beberapa buah kubah
di atas sutoh bangunan Masjid Abidin. Keistimewaan masjid ini ialah terdapatnya
seni ukiran Khat Al-Qur'an, doa-doa dan awan larat yang dipasang di atas pintu
dan sisi masjid. Selain daripada itu, terdapat juga sebuah mimbar berukiran
yang unik di dalam masjid ini.
Pada awal pembinaan masjid ini, tiang
seri atau tiang di tengah-tengah masjid masih belum dibina. Juga terdapat hanya
sebuah kubah yang dibuat berasingan daipada kayu dan beratap kayu berlian,
serta mempunyai 6 buah kolah sahaja. Di dalam pemerintahan Al Marhum Sultan
Zainal Abidin III, barulah binaan masjid yang lama itu dibesarkan seperti
keadaan sekarang. Sebelum tiang dibahagian tengah masjid ditambah, hanya
terdapat dinding tembok diperbuat daripada simen, didirikan sutoh dan tiga
menara sahaja.
Pada tahun 1881, Sultan Ahmad II ibni
Yang Dipertua Muda Tengku Mahmud telah membangunkan kubah masjid ini bagi menggantikan
kubah lama yang telah dibina pada masa pemrintahan Sultan Umar. Satu istiadat
telah diadakan sempena upacara tersebut pada jam 7.00 pagi, Sabtu 1hb Jamadil
Akhir 1298H (1881M). 16 das tembakan meriam menandakan rasminya penggunaan
kubah baru di masjid ini.
|