Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Setinggi syukur dan pujian  ke  hadrat Ilahi Yang Maha Kuasa,
Tuhan  Semesta  Alam ,  Tuhan  yang  tiada  tandingan  dalam 
kekuasaanNya. Selawat   dan  salam  ke  atas Junjungan Besar 
Nabi Muhammad saw,  pada sekalian keluarganya, para sahabat, 
dan kepada  mereka yang  mengikut petunjuknya hingga ke hari 
akhirat.

Alhamdulillah,  bersyukur saya  ke hadrat Allah  swt  kerana 
dengan limpah kurnia dan rahmatNya, hasrat Ahli Jawatankuasa 
Masjid   Abidin  Kuala  Terengganu  ( Masjid Negeri )  untuk   
membangunkan  halaman  web  rasmi  masjid ini telah  berjaya 
dilaksanakan. Maka  dengan ini, ianya dapat membantu  masjid 
dari segi pentadbiran yang lebih  cepat  dan  efisien  untuk  
penyaluran maklumat secara global. Pihak masjid  juga  dapat
menyebar dan berkongsi informasi secara  dua hala  di antara
pihak  masjid  dan  umat  Islam  ( khususnya pada ahli -ahli
kariah) tanpa  sempadan benua dan masa. 

Demi masa , umat Islam  perlulah  mengambil  kesempatan  ini
untuk  menggunakan  sepenuhnya  kemudahan ini  sebagai medan 
tarbiah samada untuk  mempelajari atau  mengajar pada  pihak
yang memerlukan tanpa had dengan keadaan selesa, mudah,murah
dan tanpa terburu-buru. 

InsyaAllah, halaman  web ini  akan  menjadi media alternatif
bagi umat Islam memperolehi maklumat yang  berguna dan  akan
dibangunkan  secara  teratur,  berterusan  dan  berperingkat 
-peringkat.  Kewujudan  halaman  web  ini akan  menjadi satu
pemangkin  anjakan  paradigma ke arah mewujudkan umat  Islam
yang  bertamadun dan berpengetahuan luas. Dengan  hanya satu 
klik sahaja insyaAllah semua  maklumat  yang  berkaitan ilmu
pengetahuan  agama  Islam  boleh  sampai  ke setiap  penjuru  
rumah seluruh  dunia  tanpa batas  khususnya  pada ahli-ahli
kariah dan juga masyarakat setempat.

Oleh kerana  pembangunan  halaman web ini masih di peringkat
awal, adalah tidak dapat  dinafikan  akan terdapat  beberapa 
kelemahan  dan  kesilapan  yang tidak disengajakan. Oleh itu 
jika  ada  pelawat  halaman  web  ini  telah   mengenalpasti 
sebarang  kesilapan, harap  dapatlah dia menghubungi   pihak 
masjid   dengan  kadar   yang   segera  supaya  ianya  dapat 
diperbetulkan demi kepentingan semua pihak.

Saya ingin  mengucapkan  ribuan  terima  kasih  kepada semua 
ahli-ahli kariah , masyarakat  setempat yang  telah  memberi  
sumbangan ikhlas untuk menjayakan program ini dan juga  pada 
mereka yang tidak putus-putus  memberikan  sumbangan  tenaga
dan  wang ringgit untuk menjalankan aktiviti-aktiviti masjid
selama ini. Hanya  pada Allah swt sahaja saya memohon semoga
diberikan  balasan yang setimpal  seperti  mana  yang  telah 
dijanjikanNya.

Segala yang baik itu  datangnya dari Allah swt, segala  yang
lemah dan kurang itu adalah daripada kita hambaNya.

Jazakumullah khairan kathira.

Wassallam.

Tuan Haji Aizi Saidi Bin Abdul Aziz.
Imam Besar Terengganu